Friday, May 22, 2020

Solat hari raya


KHUTBAH

Kata Matan al-Minhaj; 

"Disunatkan setelah solat hari raya (disampaikan) dua khutbah. Rukunnya menyamai rukun-rukun dalam khutbah jumaat..dibuka khutbah pertama dengan 9 takbir dan khutbah kedua dengan 7 takbir berturut-turut".

Syarah;

1. Dalam kitab Bidayah al-Muhtaj;
- Adapun berdiri, maka tidak diwajibkan semasa khutbah hari raya mengikut qaul yang ashah.
- Sunat memulai khutbah dengan takbir 9 kali dan 7 kali itu adalah berdalilkan pandangan para Tabiin.
- Takbir sebelum khutbah itu adalah mukadimah bagi khutbah, bukan sebahagian dari khutbah.
(Jil 1, hlm. 410).

2. Dalam kitab Fath al-Wahhab al-Malik syarah 'Umdah al-Salim (Toha Hamadi); 
- disunatkan ketika dua khutbah hari raya;
a) Berdiri
b) Duduk antara dua khutbah
c) Memberi salam ketika menaiki mimbar
d) Menghadap orang ramai sebelum memulai khutbah
- sunat duduk sebelum kedua-dua khutbah sebagai istirahah. Berkata al-Khawarizmi; kadarnya ialah kadar azan pada hari jumaat
- Yang dijadikan perkiraan dalam melaksanakan sunnah khutbah hari raya ialah;
a) Mendengar khutbah (al-sima'); yakni dari makmum
b) Memperdengarkan khutbah (al-isma'); dari khatib.
c) Menurut Syeikh Muhammad al-Ramli al-Saghier; hendaklah khutbah dengan bahasa Arab.
(Jilid 2. hlm. 14).

3. Imam Qalyubi menjelaskan;
- "Jika jemaah wanita (bagi solat hari raya itu) diimamkan seorang wanita, tidak (disunatkan) dia berkhutbah untuk mereka. Jika salah seorang dari mereka sekadar menyampai nasihat/peringatan -bukan berkhutbah- dibolehkan" (Hasyiyah Qalyubi wa al-'Umairah 'ala Syarh al-Mahalli, 1/305).

4.Imam al-Syirbini menyebutkan;
- "Disunatkan menyampaikan 2 khutbah setelah solat hari raya bagi yang melakukannya berjamaah sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW dan Khulafak Rasyidin, tanpa dibezakan bagi maksud berjamaah itu antara orang-orang musafir dan selain mereka. Malah (disunatkan khutbah tersebut) sekalipun jika solat ditunaikan diluar waktunya (qadha)"
"Jika hanya satu khutbah sahaja, tidak cukup (untuk mendapat pahala sunat berkhutbah tadi)"
(Mughni al-Muhtaj, 1/423).

5. Dalam al-Taqriraat al-Sadidah;
- jika solat hari raya dilakukan berjamaah di sunatkan imam/khatib berkhutbah selepasnya dengan mennyampaikan dua khutbah sebagaimana khutbah jumaat. Namun yang sama itu adalah pada rukun dan sunat-sunatnya sahaja, tidak pada syarat-syaratnya, iaitu; berdiri, menutup aurat, bersuci dan duduk antara dua khutbah. Jika solat bersendirian tidak perlu berkhutbah.
- Disunatkan duduk yang ringan antara dua khutbah sekadar duduk menunggu azan pada hari jumaat.
- Bertakbir pada permulaan khutbah pertama 9 kali dan khutbah kedua 7 kali berturut-turut.
- Menyampaikan khutbah yang bersesuaian dengan situaisi iaitu menceritakan tentang hukum-hakam zakat fitrah pada hari raya fitrah dan menceritakan tentang ibadah korban bagi hari raya korban.
(Halaman 344).

TAMBAHAN

1. ADAB MENYAMPAIKAN KHUTBAH HARI RAYA DI RUMAH
.
1. Selesai solat hari raya, mulakan dengan memberi salam, kemudian duduk seketika bagi memberi ruang kepada ahli keluarga untuk bersedia mendengar khutbah.
.
2. Kemudian berdiri untuk menyampaikan khutbah.
.
3. Di permulaan khutbah pertama, bertakbirlah 9 kali berturut-turut. Disambut oleh ahli keluarga dengan sama-sama bertakbir.
.
4. Seteruskan sampaikan khutbah mengikut teks yang disediakan.
.
5. Selesai khutbah pertama, duduk seketika. Kemudian bangun untuk menyampaikan khutbah kedua pula.
.
6. Di permulaan khutbah kedua, bertakbirlah 7 kali berturut-turut. Disambut oleh ahli keluarga dengan sama-sama bertakbir.
.
7. Seterusnya sampaikan khutbah kedua mengikut teks yang disediakan.
.
Panduan di atas diambil dari tulisan Imam al-Buwaiti RHM (murid Imam al-Syafiie RHM) dalam kitabnya Mukhtasar al-Buwaiti. Beliau menulis;
.
"Selesai dari solat hari raya, (khatib) hendaklah menaiki mimbar, memberi salam dan duduk (seketika). Apabila orang ramai telah duduk di tempat masing (bersedia untuk mendengar khutbah) barulah dia bangun dan menyampaikan khutbah. Orang ramai hendaklah diam (untuk memberi perhatian) kepadanya.
.
Dipermulaan khutbah pertama dia hendaklah bertakbir 9 kali berturut-turut. Orang ramai hendaklah turut bertakbir bersamanya. Berikutnya dia meneruskan khutbah dan orang ramai hendaklah diam (dan memberi perhatian) kepadanya.
.
Selesai dari khutbah pertama, dia hendaklah duduk seketika, kemudian berdiri semula (untuk menyampaikan khutbah kedua). Di permulaan khutbah kedua dia hendaklah bertakbir 7 kali berturut-turut dan orang ramai turut bertakbir bersamanya" (Mukhtasar al-Buwaiti, hlm. 185).
.
* Imam al-Buwaiti; namanya penuhnya Abu Yaakub Yusuf bin Yahya al-Buwaiti, asal dari orang Mesir, namun wafat dalam penjara di Baghdad pada tahun 231 H dengan tangan dan kaki masih berantai, kerana mempertahankan pegangannya dengan aqidah Ahlus Sunnah ketika berhadapan fahaman Muktazilah yang menguasai negara ketika itu.

PERSOALAN & JAWAPAN

1. Bolehkah wanita menjadi khatib khutbah hari raya untuk sesama wanita?

Berkata matan al-Minhaj; "Disyariatkan solat hari raya dilakukan berjamaah.....dan disunatkan selepasnya 2 khutbah".

Bagi khutbah selepas solat hari raya berjamaah itu, menurut ulamak, syarat khatib hendaklah seorang lelaki. Maka jika jamaah wanita bagi solat hari raya itu diimamkan oleh seorang lelaki, sunat dia menyampaikan khutbah hari raya untuk mereka. Namun jika diimamkan oleh wanita, tidak disunatkan dia berkhutbah. Memadai dengan tazkirah atau nasihat jika hendak dilakukan.

.
Imam Qalyubi menjelaskan; "Jika jemaah wanita (bagi solat hari raya itu) diimamkan seorang wanita, tidak (disunatkan) dia berkhutbah untuk mereka. Jika salah seorang dari mereka sekadar menyampai nasihat/peringatan -bukan berkhutbah- dibolehkan" (Hasyiyah Qalyubi wa al-'Umairah 'ala Syarh al-Mahalli, 1/305).
.
Wallahu a'lam.

2. Khutbah solat raya; cukupkah dengan satu khutbah sahaja?

Kata Matan al-Minhaj; "Disunatkan setelah solat hari raya (disampaikan) dua khutbah....".

Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan; "Jika hanya satu khutbah sahaja, tidak cukup (untuk mendapat pahala sunat berkhutbah tadi)" (Mughni al-Muhtaj, 1/423).

3. Solat hari raya di rumah; adakah sunat berkhutbah?

Kata Matan al-Minhaj; 

"Disunatkan setelah solat hari raya (disampaikan) dua khutbah....".

Imam al-Syirbini menyebutkan;
.
"Disunatkan menyampaikan 2 khutbah setelah solat hari raya bagi yang melakukannya berjamaah sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW dan Khulafak Rasyidin, tanpa dibezakan bagi maksud berjamaah itu antara orang-orang musafir dan selain mereka. Malah (disunatkan khutbah tersebut) sekalipun jika solat ditunaikan diluar waktunya (qadha)" (Mughni al-Muhtaj, 1/423).

Kesimpulannnya, jika solat hari raya dilakukan berjamaah sunat disusuli dengan dua khutbah. Adapun jika dilakukan bersendirian, tidak disunatkan.

4. Adakah duduk antara dua khutbah semasa khutbah hari raya menjadi rukun?

Bagi khutbah hari raya, berdiri ketika berkhutbah dan duduk antara dua khutbah hanya sunat sahaja, tidak wajib. Adapun bagi khutbah jumaat, wajib berdiri (bagi yang mampu) dan wajib duduk antara dua khutbah, yakni tdak sah khutbah jumaat tanpanya. Lihat; penjelasan Syeikh Toha Hamadi dalam kitab Fath al-Wahhab al-Malik tadi.

5. Adakah duduk antara dua khutbah nk sunat pada semua jenis solat sunat yang ada padanya khutbah? Terima kasih ustaz

Ya sunat duduk seketika sebelum memulai khutbah kedua. Dalam kitab Bidayah al-Muhtaj (bab berkenaan solat gerhana); dinaqalkan dari al-Ghazzi; dikecualikan (syarat) berdiri (bagi rukun-rukun dan syarat-syarat khutbah hari raya) di mana tidak diwajibkan di sini (sedangkan bagi khutbah jumaat diwajibkan) (1/420). Dalam kitab Fath al-Wahhab al-Malik (Toha Hamadi); khutbah bagi solat gerhana menyamai khutbah jumaat pada rukun-rukun dan sunat-sunatnya, namun tidak diambil perkiraan pada syarat-syaratnya (yakni tidak dikenakan syarat-syarat ke atas khutbah gerhana sebagaimana syarat2 khutbah jumaat). Yang diambil perkiraan ialah;
a) Mendengar khutbah
b) Memperdengarkan khutbah
c) Khutbah dalam bahasa Arab
d) Khatib adalah lelaki
(Jilid 2, halaman 25).
- Dalam bab berkenaan solat istisqa'; khutbah istisqa' seperti khutbah hari raya.. cuma harus baginya satu khutbah sebagaimana khutbah gerhana. Selain itu, harus bagi khutbah istisqa berkhutbah sebelum solat atau selepas solat, namun selepas solat lebih afdhal kerana paling kerab dilakukan Nabi SAW. Adapun khutbah hari raya dan gerhana tidak boleh dilakukan sebelum solat (jilid 2, hlm. 33).

No comments:

Post a Comment

HUKUM KHATIB DAN MAKMUM MINUM AIR SEMASA KHUTBAH

قال النَّووي في "المجموع": " يُكرِه لهم شُرْبُ الماء للتلذُّذ، ولا بأس بشرْبِه للعطش للقوْمِ والخطيب، هذا مذهبُنا، قال ابنُ ا...